Aku bukan siapa-siapa
untuk berhujah kencang mengenai soal spiritual ataupun agamaku, addin yang satu
iaitu Islam serta tuntutanya kerana aku hanyalah hamba yang penuh noda dan
dosa, tak pernah lari daripada kemungkaran tapi aku punya satu niat iaitu untuk
cuba menjadi lebih baik daripada semalam, lebih baik daripada aku yang lampau
dan niat suci yang satu ini aku peroleh dengan siatuasi yang kena dengan
ungkapan “MEMAKSA UNTUK BIASA”
Aku yang dulu tak
membenci tuntutan dan tak juga menghina orang yang melaksanakan tuntutan bahkan
aku rasakan mereka HEBAT. Tapi aku tak tahu kenapa aku masih buta mengenai yang
HAQ itu walhal sekelilingku hampir semuanya melaksanakan yang HAQ yang dituntut
Tuhan. Aku yang lampau memegang kepada ungkapan kejahilan iaitu “ Aku tak mahu
jadi hipokrit dengan sekejap bertudung, sekejap tidak atau kat sekolah
bertudung tapi kat rumah free hair, dan juga nama je pakai tudung tapi dok
dating dengan bukan halal tak tentu hala” dan apabila orang persoalkan kenapa
aku tak bertudung aku juga biasa menggunakan ungkapan “ When you want to change
to a better one, let it come from your heart, no force, no pressure just let it
flow and blow as it should be, Hidayah tu milik Allah dan hati kita Allah yang
pegang dan sekali lagi AKU TAK NAK JADI HIPOKRIT”
Masa terus berjalan,
aku dikelilingi mereka yang punya fikrah (pemikiran) Islam dan juga mereka yang
sedang cuba untuk menjadi baik dari yang lampau. Aku yang masih dungu dengan
kejahilan tak punya kesedaran bahawa environment rabbani itulah saluran ataupun
lintasan untuk aku peroleh Hidayah Allah. Aku
yang tinggal di asrama penuh yang sendat dengan peraturan ketat mengenai
AURAT dan IBADAT berterusan memberontak di dalam hati. Aku ikut peraturan
manusia yang mahukan pelajar bertudung
sewaktu hari akademik serta waktu lain selagi di dalam kawasan asrama dan aku
juga tanpa rasa bersalah akan mencabut tudung setelah aku keluar dari kawasan
WAJIB MENUTUP AURAT itu. Tapi 5 tahun semenjak tingkatan 1 hingga tingkatan 5
membuatkan aku biasa dengan keadaan terpaksa mengenakan segalanya yang menutup
aurat. Sebenarnya bukan 5 tahun tapi 3 tahun kerana di hujung tahun tingkatan
tiga aku sudah mula mengenakan selendang yang waktu itu popular dengan tren
“TUDUNG YUNA”. Selendang yang aku pakai jarang, tak mentup keseluruhan dada
serta baju yang muat-muat serta jeans yang mengikut alur kaki dan peha. Bagi
aku waktu itu aku sudah dikira menutup aurat dan itu adalah suatu penghijrahan
yang baik, sudah lebih daripada ok. Hidup aku diteruskan, tingkatan 4 dan
tingkatan 5 di asrama penuh cumanya berbeza sekolah. Di sekolah yang baru ini
suasana Islamic lebih terasa, dengan cubemate yang juga orang kuat Badan Dakwah
Pelajar (BADAR) namun aku masih aku, aku masih si dia yang memberontak jika aku
TAK SUKA dan juga si dia yang terbuka untuk menjadi pendengar walaupun terkena
BATANG HIDUNG SENDIRI. Di sekolah baru, aku lebih kerap menghadiri usrah kerana
ianya WAJIB dan perisianya pula bukan sekadar AURAT atau DISIPLIN si pelajar
puteri tetapi usrahnya menyeluruh tentang hidup seorang Islam. Aku juga
dimanjakan dengan sesi tazkirah daripada setiap sahabat di dorm setiap malam
selepas habis bacaan Al-Mulk dan ayat-ayat suci lain, tak lari daripada giliran
aku juga turut memberi tazkirah. Aku yang gemar membaca juga mula membeli
pelbagai bahan bacaan berunsur Islamic selain menumpang sekaki bahan bacaan cubemate yang turut mencintai
buku dan bahan bacaan. Sewaktu itulah aku mula menjadi pemikir selain daripada
menjadi pemberontak dan pengarah. Aku menjadi pemikir dan mula mengunakan mata
hati untuk melihat dunia dan manusia.
Habis tingkatan 5, aku tak punya identiti
Islamic yang bersih lagi, tapi aku teruskan pembacaan, aku teruskan usaha rapat
dengan mereka yang mewangi dalam Islam, yang sedang cuba berubah untuk menjadi
Islam sejati. Hinggalah suatu masa, aku mula mengenal usrah yang sebenar untuk
berada didalam lingkungan mereka yang berfikrah Islam. Aku juga diberi kepercayaan
untuk meneruskan legasi kepimpinan Islam sewaktu aku bergelar pelajar Pra
Universiti. Aku pada waktu itu tak berubah drastik mengenakan hijab berbidang
60’ atau jubah serta baju longgar hanya kerana aku diberi amanaha dan
tanggungjawab untuk memimpin Organisasi Kepimpinan Pelajar Islam, Oh ya, stoking
pun aku hanya kadang-kadang pakai, kadang kadang tidak. Sampailah suatu petang
sewaktu aku ingin ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah Maghrib aku mulai
terfikir, “ Ruginya aku setakat kaki yang tak berapa nampak ni menjadi saham
aku ke neraka. Haish setakat stoking je, apa salah kalau pakai terus, dulu kat
asrama boleh je aku sarung sampai ke malam, kenapa sekarang pulak tak boleh?
Kemudianya aku terus sarungkan stoking dan turun dari bilik tingkat tiga. Mata
aku terarah ke sekujur figura manusia yang berpakaian ketat dan bertudung
singkat. Hati aku terdetik lagi, Ya Allah aku yang perempuan ni pandang pun dah
terasa semacam pelik, apatah lagi mata-mata lelaki yang memandang. HUH, dan
hati aku sudah berkata, bahawa diri ini patut lakukan sesuatu. Usai berjemaah
di masjid aku pulang semula ke bilik dan terus menelefon ibu, aku maklumkan
untuk bertudung 60’ dan seperti yang dijangka ibu menyoal kenapa dan siapa yang
menyuruh. Aku ceritakan hal yang sebenar, dan ibu memberi amaran untuk aku jika
sudah bertudung labuh jangan setakat hangat-hangat tahi ayam, jangan sekejap
aje. Seperti berpasir air liur yang aku telan. Aku sudah nekad untuk teruskan,
sampai bila aku mahu terperangkap dalam kejahilan atau sampai bila aku mahu
berada di takuk yang sama. Aku mencabar diri aku.
Hari yang berikut
diteruskan dengan diri yang bertudung 60’ dan pakaian yang mengikut syariat.
Tapi aku masih si dia yang memakai JEANS cuma bukan lagi JEANS yang menampakkan
figura menjolok mata. Aku cuba sedikit demi sedikit. Aku memaksa diri aku untuk
biasa kerana aku tahu Allah itu akan MARAH jika aku berlagak tak tahu dan hanya
menunggu Hidayah tanpa usaha. Alhamdulillah masih diteruskan usaha aku hingga
kini.
Halangan yang terbesar
ialah untuk ISTIQAMAH tapi caranya ada untuk kita pastikan kita berada di zon
istiqamah. Kita basahkan lidah dengan zikrullah dan kita dekatkan diri dengan
mereka yang mewangi dalam Islam melalui USRAH tapi ini tak bermakna kita
memandang jijik mereka yang jauh dari
Islam kerana aku sedar mereka itu ialah sebahagian daripada aku yang dahulu.
Aku juga memperbanyakkan pembacaan mengenai Islam agar aku sentiasa merasa
kebesarannya dan agar aku tak terleka dengan hidonistik dunia yang melampau
agar aku seimbang dunia dan akhirat.Setakat hidup dalam taribiyyah tak lengkap
diri seorang Islam, jika ilmu di dada diguna seorang diri juga tak lengkap
pakej seorang Islam, aku mula sebarkan CintaNya melalui dakwah kerana kita
rantaian dakwah Rasulullah S.A.W agar aku juga mampu mengingatkan diri aku yang
mudah alpa terleka selain mengingatkan orang lain.
Aku ceritakan secara
ringkas bukan untuk menunjukkan betapa aku setaraf BIDADARI SYURGA atau betapa
SUCI dan PUTIHNYA aku tanpa noda tetapi aku coretkan untuk kalian di LUAR
menjadi si pemikir dan sedar yang KITA PERLU MEMAKSA UNTUK BIASA bukan hanya MENUNGGU
tanpa USAHA. Aku hanyalah si hamba yang penuh noda dan sedang menjadi si dia
yang lebih baik daripada si dia yang lampau. Moga kita sentiasa dirahmati Allah…Berusahalah
untuk menjadi yang lebih baik kerana setiap usaha itu Allah hitung, Allah tak
pernah terlelap untuk tak menghitung, Allah tak pernah leka untuk tak melihat,
tak mendengar rintihan HAMBANYA. Sungguh aku sayangkan kalian walupun kita tak
saling kenal kerana kita bernafas dengan tautan hati cinta abadi si pemilik
cinta hakiki, Allah.
~LOC~
080613
1855
RainTown
No comments:
Post a Comment